Apa ertinya kasih pada seorang anak kecil yang masih terayun di buaian??. Kata ini seolah angin baginya, pabila ia bertiup kan menghilang bersama bayu. Termanggu aku tika mengenang kasih yang ku harap suatu masa tika ku terayun di buaian. Pernah terucap kata itu dari bibirku tapi ku sendiri tak pernah ketahui maksud yang mengiringi erti kasih. Kini, semuanya terungkai memburai saat aku dalami dari dasar kedewasaan.
Saat aku belajar mengenal dunia, aku jua belajar mengenal erti kasih yang terbuku selama ini. Kian hari aku kian mengerti betapa indahnya kasih yang bererti dalam hidup yang aku cari. Melihat kepada teman sepermainan ku rasa mereka begitu bahagia kerna ada keluarga yang sempurna. Aku pun menginginkannya.
Aku jua punya keluarga. Keluargaku tidaklah besar tetapi cukuplah bahagia. Sebelumku lahir mak dan abah dianugerahi dua orang puteri. Aku puteri ketiga keluarga ini. Selepasku mak dan abah dikurniakan seorang putera. Keluargaku kini dah cukup sempurna pada pandanganku. Semakin aku menlangkah hari semakin aku menakluki ada sesuatu yang tak sempurna dalam keluarga ini. Mungkin itu cuma khayalanku.
***
Zaman kanak-kanak ialah zaman yang paling indah dalam hidup. Zaman yang paling menguji ingatan serta zaman ini tak memungkinkan sebarang kesulitan. Ermmmm….mungkin juga igauan.
Zaman kanak-kanak ku sama seperti yang lain agaknya. Tapi…aku tak ramai kawan. Aku hanya ada lima sahabat itupun empat orang anak Pak Ngah dan adik lelaki ku. Cuma mereka yang meniti dari kanak-kanak melalui titian kedewasaan. Aku selalu dipinggirkan oleh sepupu yang lain. Mereka tak sukakan keluargaku kerana kami baru berpindah ke kampung. Perit sangat melalui zaman kanak-kanak tapi amat manis.
Masih terngiang-ngiang di cupingku kata sepupu dulu. Waktu itu umurku baru lapan tahun. Aku masih tak mengerti apa-apa. “Tengok ler dia tu, Tok Wan mati pun mai ngan seluar pendek. Baju lak tak berlengan. Orang pekan tak tahu nak beradab, loghlaq,” kata sepupuku anak Pak Cik disertai dengan selaan ketawa. Betapa malunya aku saat itu. entah apa yang mampu aku fahami saat itu. Aku cuma kanak-kanak yang ingin menikmati duniaku. Lagi pula waktu itu kelam kabut tak membenarkan aku menyalin pakaian.
Walaupun aku masih kecil tapi aku tahu erti dan maksud sepupu ku. Selalu jugak aku melewati tutur kata dengan Mak tentang semua ini. Itulah caraku bersahabat dengan mak. Kata Mak jangan membalas kekerasan dengan kejahatan tapi balaslah dengan kebaikan.
“Makkkk, kenapa semua sepupu Acik tak sukakan kami adik beradik?. Diorang dah malukan Acik hari tu. Apa salah kita kat depa mak?. Acik pelik lah, depa cam benci sangat sampai kat sekolah pun pinggirkan Acik. Susah betul nak dapatkan kawan kat sini. Kenapa pindah kampung Mak?” aku mengajukan ketidakpuasan hatiku pada Mak. Jawapan yang aku harap hanya digantikan dengan senyuman oleh mak. Senyuman yang Mak lemparkan dulu baru sekarang aku fahami maknanya.
Termenung di pinggir tebing bukit yang kecil aku terkilan melihat kegembiraan orang lain. Melihat mereka berlarian ke sana sini dengan seorang lelaki yang bergelar abang. Berkejaran bersama, bermain dan bercerita bersama. Rupanya kasih yang ku rayu selama ini pengertian kasih seorang abang. Dari kecil aku tak mengenal apa itu kasih seorang abang cuma pernah ku bayangkan kesempurnaan dalam kehidupan. Kesempurnaan dari kaca mata anak kecil yang tidak tahu apa-apa.
Masih kuingat lagi aku sering menyulitkan pengucapan Mak dengan pelbagai soalan. Mungkin aku ini pemberi kesulitan. Mak selalu kelihatan keliru untuk memberikan jawapan. Kenakalan ku semasa anak kecil sering Mak perdengarkan merenteti perjalanan kedewasaan. Kelucuan dan kepetahan ku berbicara membenamkan duka yang berselubung di hati Mak. Aku puteri mereka yang terlalu manja. Bayangkan lah hingga kini aku masih melelapkan mataku di bawah ketiak mereka. Di sebalik apa yang tersurat itu masih tersembunyi yang tersirat. Di sebalik gelak tawa yang ku simpulkan itu, terbenam air mata di kelopak mata Mak dan Abah. Mereka tahu pengharapan kasihku terlalu besar, kerana itulah mereka tak ingin aku terluka. Hanya mereka yang tahu apa yang berlaku padaku saat itu.
***
“Mak…Mak.., kenapa Acik tak ada abang?. Orang lain semua ada abang dan Acik tak ada?. Kenapa ye Mak?. Seronok Acik tengok diaorang main sama-sama, makan sama-sama, pergi mana pun sama-sama. Sunyi le tak ada abang. Acik nak abang boleh tak mak?. Boleh tak mak lahirkan abang untuk Acik?.” aku terlalu banyak berbicara dan bertanya membuatkan Mak kelu tanpa bicara.
“Pandai anak Mak ni bercakap. Amboiii….boleh jadi perdana menteri le anak Mak nie nanti.”, Mak berseloroh dan diikuti hilaian tawa Abah, Along, Angah dan Adik. Merah padam muka aku saat tu. Malu betul. Tersipu-sipu aku berlari perlahan menyorok di belakang Abah. Perlahan aku kemudian di ribaan Abah. Kemesraan Abah cukup untuk melenyapkan situasi tadi. Belaian Abah mengusap rambutku cukup untuk membuaikan aku kealam mimpi. Kucupan manja yang penuh dengan kasih dan sayang tak henti hinggap di wajahku. Aku kembali berbicara menggamatkan suasana.
“Abahhhhhhh….antara Along, Angah, Acik dan Adik yang mana Abah paling sayang?, aku bertanya soalan yang menggemburkan kecemburuan.
“Ermmmm…Abah paling sayang Acik lah, tapi Along abah paling rindu, Angah abah paling kasih dan Adik abah paling cinta,” Abah berseloroh menggantikan Mak. Terukir senyum manis dibibirnya. Abah meneruskan lagi bicaranya.
“Acik tahu tak kasih,sayang,rindu dan cinta itu pengukuh ikatan keluarga . Tak ada istilah siapa yang lebih Abah sayang. Abah sayang semua anak abah sama sahaja, tak ada yang lebih dan tak ada yang kurang kerana bagi Abah semua anak Abah adalah anugerah yang tak ternilai harganya,” Abah menjelaskan kata-katanya tadi. Aku kini faham kenapa kasih dan sayang itu penting dalam kehidupan ni. Aku kembali bersama adik beradik ku yang lain. Kami bermain bersama menggegarkan rumah dengan hilai dan tawa. Terukir senyuman di bibir kecil Mak dan Abah.
***
Penantianku akhirnya berakhir. Aku berjaya mendapatkan kasih yang selama ini aku dambakan. Kehadirannya yang sekian lama dinanti membungakan hatiku. Biarpun bukan dari aku kanak-kanak tapi kehadiran abang sulungku begitu menghiburkan. Dia benar-benar menutup kelukaan yang selama ini terbuku dihatiku. Kemesraan yang terjalin antara kami seolah-olah dia telah lama menemani aku di sini. Aku kini rasa kesempurnaan itu.
Dunia bukan sesuatu yang sempurna. Kasih itu memang berpanjangan tetapi dia tinggalkan aku lagi. Saat kemanisan yang ku rasa itu kian suram. Sesuram langit petang. Jarak pemisah antara kami menjarakkan hubungan. Berjumpa cuma setahun beberapa kali sahaja. Walau sejauh mana jarak antara kami namun ku masih adik kesayangannya. Aku masih ingat pesanan abangku sebelum dia melangkah pergi setiap kali berakhirnya pertemuan.
“adik, jangan anggap perpisahan ini selamanya kerana biarpun kita bukan dari ibu yang sama tapi dari benih yang sama. Abang akan sentiasa sayangkan adik abang nie. Abang akan balik sekerap mungkin. Abang sayang adik. Jaga diri dan jaga Abah. Nanti abang balik kita main sama-sama lagi,” Abang Long bertutur untuk mendamaikan hatiku. Aku tahu dia menyanyangiku.
***
Aku kini meningkat dewasa. Makin banyak cabaran yang perlu ku tempuh. Cabaran terbesar yang aku terpaksa hadapi kini berlabuh. Hal ini benar-benar menguji aku dan mendewasakanku. Disebalik kasih yang indah tersingkap kisah pilu ku. Seandainya aku tidak di sini, ia tentu terus menjadi rahsia. Tidak hairanlah kenapa Mak dan Abah tidak membiarkan aku mengharap kasih. Mereka seadanya menyayangiku dan kehadiran abangku untuk cuba merawat luka itu. Mereka tak ingin lihat ku bersedih. Kesedihan ku akan memudaratkan hidupku.
Kedewasaan ini mengajarku erti tabah menghadapi ujian. Kedewasaanku mengajar membongkar misteri dan rahsia. Tanpa ku sedar di balik tindak tanduk Mak dan Abah ada sahaja perkara yang menggembirakanku. Segalanya terjawab kini. Jika dulu ke hospital atas alasan aku demam tapi kini aku faham kenapa semua ubat-ubatan itu menjadi temanku sejak kecil. Aku mengerti kenapa hospital itu rumah kedua ku. Mengimbau kembali kenangan silam terngiang di mindaku kata Mak tiap kali aku bertanya itu dan ini. Waktu itu….
“Mak kenapa kita selalu datang spital??. Akak nak dapat adik ke Mak??. Bestnyer…bestnye nak dapat adik,” celoteh aku bersama ketawa kecil.
“Tak lah sayang. Kita datang sini nak ambik ubat Acik le. Kakak kan demam. Orang demam kena ler makan ubat. Jangan nakal-nakal nanti,” bicara Mak dengan lembut.
“Acik tak nak lah makan ubat lagi Mak. Dari kecik asyik makan ubat jew. Hah.. satu lagi Acik sakit le doctor tu selalu suntik Acik. Sakit lah Mak,” aku kembali berbicara sedikit membantah seolah tidak puas hati.
Hanya itu sahaja yang aku tahu. Tak pernah aku tahu lebih dari itu. Tiap kali ku ajukan soalan sentiasa tak berjawapan. Aku sendiri tak tahu apa yang disorokkan. Tapi..sekarang aku mengerti kenapa dan mengapa itu jawapannya. Biar apa yang terjadi aku tetap menghadapinya bersama seberkas kasih Mak dan Abah.
Aku tetap meneruskan rawatan yang penyambung nyawaku. Dalam segenap kasih itu ku telah menitiskan airmata suci seorang ibu. Kegembiraan yang selama ini ku rasa hasil dari titisan air bisa nanah luka yang bersarang di dada Mak dan Abah. Selama ini aku tidak pernah tahu dan tak pernah mengerti. Patutlah tiap kali aku lihat Abah dan Mak keluar dari bilik doctor airmata mereka bersarang dikelopak. Bila ditanya jawapannya habuk masuk mata.
Dalam hatiku kini terbuku satu rahsia yang hanya aku yang tahu. Seringkali bermain di akal fikirku sama ada aku harus luahkan pada Mak ataupun kusimpan biar mereka sendiri membongkarnya. Aku tak ingin bawa kesedihan lagi di wajah insan-insan tersayang. Cukuplah dengan apa yang mereka rasai sekarang. Tak sanggup aku menambah luka dan pilu di hati mereka lagi.
“Mak dan Abah maafkan akak kerana masih terbuku satu rahsia yang tak sanggup untuk diperdengarkan. Akak tak sanggup melihat Mak dan Abah kehampaan dan kebuntuan. Cukuplah dengan tahu akak tetap teruskan perjalanan rawatan. Akhir-akhir ini Mak dan Abah dah cukup tersiksa. Akak tak ingin tambah lagi kedukaan itu,” seringkali kata ini bermain di mindaku. Tak terluah dengan kata-kata.
Akhir-akhir ini aku menjalani rawatan yang paling merimaskan. Aku terpaksa berbahagi masa antara pelajaran dan kesihatan. Setiap rawatan yang aku jalani memerlukan belanja yang besar. Aku tak ingin teruskan tapi aku perlu mengikutinya. Aku perlu bahagiakan keluargaku. Mereka tidak boleh tahu sakitku makin parah.
Dalam tiga bulan ini, aku telah jalani rawatan yang amat menyakitkan. Pedih dan perit yang teramat melewati rawatan itu. Dalam masa satu minggu aku terpaksa mendermakan darahku untuk ujian. Tak tergambar peritnya saat memberikannya. Tangan dan pehaku lebam-lebam kesan suntikan itu. Aku tak mampu mengangkat tanganku sekalipun. Sinaran X-Ray dan scanner membunuh memoriku. Tak pernah aku jalani pemeriksaan sinaran sebanyak lima kali dalam seminggu. Sel otak dan dadaku bagai sudah membeku dan mati. Itulah yang kurasakan kini.
Semakin aku tahu masaku kian singkat, aku makin menagih kasih dan mengharapkannya. Selain keluarga kehadiran tunangku membantu aku menghadapi sisa hidup ini. Seandainya aku tak bisa menjadi seorang isteri sekurang-kurangnya aku telah merasai detik dan penantian itu. Dia benar-benar begitu setia menanti aku dan menerima keadaanku seadanya. Tak pernah aku dengar keluhan resah dari bibirnya. Tiap kata yang dituturkan mendamaikan hatiku dan berjaga-jaga untuk tak mengguris hatiku. Kasih yang dicurahkannya cukup untuk membersihkan jiwaku. Kata-katanya begitu indah dan syahdu. Seringkali aku karangkan puisi padanya bagi merungkai kerinduanku. Aku teramat menyayanginya.
Masih kuingat demi erti kasih yang ku pinta, dia rela menurut segala kehendakku. Saat bahagia bersamanya berlarian di gigi air, berkejaran tika air pasang dan berdakapan menanti matahari pulang. Terasa ingin aku melalui detik itu lagi. Masa kian singkat tinggal untukku. Aku ingin seharian bersamanya memandang langit senja dan berkata-kata pujangga. Terfikir aku kata-katanya saat itu.
“Sayang, kalau ini saat terakhir kita bersama abang tak akan pernah melupakan kehadiran sayang. Pada abang sayang satu-satunya yang bertakhta di hati dan sanubari. Kalau sayang pergi tinggalkan abang nanti abang akan kehilangan segala kepentigan dalam hidup nie. Abang akan kehilangan seorang calon isteri yang comel dan baik macam sayang. Abang sayang sangat-sangat dengan semua suasana yang kita ciptakan ni. Nanti kalau sayang dah tak ada, sapa yang nak hadiahkan abang untaian puisi?. Tak dapatlah abang baca puisi sayang lagi. Mash banyak impian yang belum tercapai. Abang nak lihat anak-anak kita dilahirkan oleh sayang. Kita sama-sama besarkan mereka. Boleh tak sayang jangan tinggalkan abang?,” tunangku berbicara sambil menuding jarinya ke langit mengarahkannya kearah bintang harapan. Mengalir airmata di pipinya. Aku sedar akan kehadiranku dalam hidupnya banyak merubah dia. Aku hanya mampu mendiamkan diri dan berserah kepadaNya yang mendengar rungutan kami.
***
Bersahabat dengan rakan begitu menyakitkan. Memulakannya dengan harapan tetapi berakhir dengan kesedihan dan ratapan. Perkenalan aku dengan seorang kenalan membuahkan satu pertalian kasih. Kehadiran insan ini mengubati luka saat menanti kasih Abang Long. Bukan sebagai pengganti Abang Long tetapi pengubat hatiku yang ghairah ingin memiliki seorang abang. Biarpun aku belum pernah menemuinya tapi aku mengenalinya. Gelak tawa dan kelucuannya amat menghiburkan aku. Beberapa ketika sahaja bersama seolah-olah sudah bertahun aku mendapatkannya.
Kehadiran dia benar-benar menjadi pengubat. Aku terlalu mengharapkan kasihnya. Mungkin jua aku terlalu meminta. Aku tahu dia sukar untuk menghadapi hari-hari bersamaku. Masanya sering ku ganggu. Masalah kecil boleh mencetuskan selisih faham. Aku cepat benar merasa kasih itu pudar. Mungkin kerana aku bukan adiknya. Aku rasa kesunyian bila aku keseorangan. Aku menantikan kehadirannya menemaniku. Aku terlalu menagih kasihnya.
Masa yang tinggal untukku mungkin tidak lama. Aku cuma ingin dia tahu aku sayangkannya seperti keluargaku. Aku juga ingin dia tahu kasih yang dihulurkannya menjadi pengubat kesakitanku. Gelak tawa itu menjadi nadiku. Bagiku kini dia adalah abangku. Aku sayangkannya. Seandainya dapat dia hadiahkan sesuatu hanya kasih yang aku perlu.
***
Pengharapan ku tak akan berhenti disini. Aku akan terus mengharapkan kasih yang melibur hatiku. Aku ingin lalui detik akhirku dengan limpahan kasih,sayang,rindu dan kecintaan. Aku juga tak ingin tinggalkan orang-orang yang ku sayang dalam ketandusan dan nafsir kasih. Sebelum kakiku melangkah nanti ku akan semat nilai kasihku dalam jiwa tiap insan yang ku sayang dan rindu. Empat bulan masaku. “MENGHARAPKAN MU”.
3 comments:
sungguh menyentuh hati dan perasaan.=)
sungguh mengharukan dan mengasyikkan..huhu.
thanks....
Post a Comment